Miri: “Saya tidak pernah menerima apa-apa ancaman sebelum ini, saya bingung kenapa ada orang memukul saya?” kata Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Kheng.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, Teo dibelasah seorang lelaki menggunakan pemukul besbol di hadapan kliniknya di Jalan Tanjung Off Miri-Bintulu, semalam.

Akibat serangan itu, Teo cedera teruk apabila patah tulang selangka bahu kiri, selain kecederaan di beberapa anggota badan termasuk di kepala.

Menurut Teo, ketika kejadian dia berjalan menuju ke kliniknya sebelum dihampiri lelaki terbabit yang memakai topi keledar.

“Saya baru saja meletakkan kenderaan di kawasan tempat letak kereta dan hendak masuk bekerja. Ketika saya berjalan ke klinik, lelaki itu tiba-tiba datang dari belakang dan terus memukul saya menggunakan pemukul besbol yang diperbuat daripada besi aluminium.

“Saya cuba mempertahankan diri dan merayu tidak dipukul, tetapi suspek membelasah saya tanpa belas kasihan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Teo berkata, suspek melarikan diri menaiki kereta Proton Saga yang diletak berhampiran tempat kejadian.

“Orang ramai menyedari kejadian itu memberikan bantuan dan menghantar saya ke Hospital Miri,” katanya yang kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, siasatan awal mendapati nombor pendaftaran yang digunakan suspek palsu.

“Polis memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tetapi kejadian itu tidak berada di dalam kawasan rakaman kamera itu.

“Rakaman menunjukkan kelibat mangsa terjatuh manakala kelibat suspek tidak dapat dirakam. Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

- See more at: www.hmetro.com.my


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.