KUALA LUMPUR – ‘Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’ menjadi tema sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-44 tahun ini yang dilancarkan sebentar tadi.

Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan pada majlis prapelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof. Pada majlis itu, laman sosial Facebook dan Twitter Hari Guru 2015 turut dilancarkan selain penyampaian kain rentang serta poster kepada semua Pengarah Pendidikan negeri. Khair dalam ucapannya berkata, pada tahun ini Kedah dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan dengan pelbagai program dianjurkan selama tiga hari bermula 14 Mei.

Katanya, antara program yang akan diadakan di sekitar Alor Setar dan Jitra termasuk pelancaran Pameran Pendidikan dan Festival Hari Guru; Wacana Intelek Keberhasilan Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan majlis bacaan Yasin, tahlil, solat hajat dan forum agama.

“Acara kemuncak iaitu Majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2015 pada 16 Mei ini pula akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah kepada Tokoh Guru Kebangsaan 2015 dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2015 di Dewan Wawasan, Jitra,” katanya. - Berita Harian Online

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.