Terciptanya satu teknologi baru pasti akan memberi kesan kepada kesihatan. SHUHADA MANSOR mahu Gen Y sedar kesan buruk yang akan dihadapi sekiranya kita terlalu obses dengan teknologi masa kini.

Media sosial adalah landasan penting untuk kita tahu berita terkini. Televisyen dan radio boleh dikatakan sudah ‘dianak tiri’ apabila wujudnya laman media sosial. Dengan kewujudan beberapa laman sosial yang mencetuskan fenomena seperti Facebook, Instagram dan YouTube, pastilah ramai pengguna tegar dan taasub dengan teknologi.

Ketika ini, bukan hal luar biasa apabila seseorang itu menghabiskan masa seharian dengan ‘menghambakan’ diri kepada teknologi. Situasi ini bahkan boleh dilihat di mana-mana meskipun ketika memandu dan melepak sehinggakan pada waktu makan sekali pun akan ada yang memegang gajet di tangan. Jika dulu fenomena ini mungkin sesuatu yang jarang berlaku, tetapi ia kini menjadi masalah yang serius khususnya dalam kalangan remaja.

RAKYAT MALAYSIA MILIKI LEBIH DARIPADA SATU TELEFON BIMBIT

Penggunaan telefon bimbit di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di Asia Pasifik serta melebihi negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah mengikut laporan firma kajian pengguna Nielsen.

Laporan Memahami Pengguna Telefon Bimbit Asia dikeluarkan pada 2013 itu menunjukkan trend terkini dalam pemilikan telefon pintar serta sikap pengguna di sembilan negara Asia Pasifik termasuk Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina, Australia, Hong Kong, China, India dan Singapura.

Dilaporkan, rakyat Malaysia paling ramai memiliki lebih daripada satu telefon bimbit

Jumlah pengguna yang memiliki beberapa telefon bimbit juga semakin meningkat di rantau Asia­Pasifik terutama di Malaysia di mana hampir separuh atau 47 peratus pengguna memiliki lebih daripada satu telefon bimbit. Dengan kuantiti dan kekerapan penggunaan, tidak mustahil jika penulis simpulkan bahawa kita tidak menyedari risikonya terhadap kesihatan.

Disenaraikan beberapa kesan buruk penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan kita sekiranya tabiat obses tek­nologi ini diteruskan tanpa ada had.

INSOMNIA

Penggunaan telefon pintar seperti permainan video, melayari Internet dan sebagainya secara tidak langsung boleh menjejaskan kualiti tidur. Ketagihan terhadap media sosial misalnya akan membawa kepada tabiat berjaga malam dan akhirnya menyebabkan masalah kekurangan tidur dan keletihan.

LEMAH DAYA INGATAN

Terlalu bergantung kepada teknologi akan menyebabkan memori jangka pendek menjadi kurang berkesan.

KEMURUNGAN

Setiap status dan perkongsian yang kita lihat di ‘newsfeed’ Facebook sebagai contoh, boleh mempengaruhi mood seseorang. Ia boleh menjadi punca sikap negatif dan menimbulkan perasaan cemburu apabila melihat gambar dan membaca me­ngenai status orang lain.

FOODPORN

Menurut kajian, melihat gambar makanan di laman sosial akan menyebabkan perasaan kurang berpuas hati dengan makanan yang kita nikmati. Fenomena ini juga akan membawa kepada pengambilan makanan yang berlebihan. Hashtag ‘#foodporn’ antara yang popular bagi sesiapa yang ingin mencari idea mengenai makanan di Instagram.

SEBAR KUMAN

Telefon pintar boleh menjadi tempat pengumpulan kuman malah lebih kotor daripada pemegang berus tandas. Kita sedia maklum bahawa kuman boleh membawa kepada pelbagai penyakit. Jadi pastikan anda membersihkan telefon pintar anda sekerap mungkin untuk mengelakkan kita memberi ruang kepada pelbagai jenis penyakit menyerang diri sendiri. -hmetro





Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.