LAHAD DATU: Beberapa struktur rumah di Tanduo dan lokasi dua anggota komando VAT69 terkorban ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu masih dikekalkan, biarpun kawasan itu telah dijadikan kem tentera.

Ia bagi mengingati betapa insiden itu adalah tragedi hitam kepada negara dan pasukan keselamatan yang kehilangan tiga perwira ketika bertempur dengan pengganas yang menggunakan nama sebagai Royal Sulu Force (RSF).

Mengimbas kembali insiden pada 1 Mac 2013 di Tanduo, selepas beberapa hari rundingan mengusir keluar penceroboh itu dilakukan, pertempuran berlaku antara kumpulan penceroboh itu dengan anggota pasukan keselamatan yang mengorbankan dua anggota polis komando VAT 69.

Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia turut terbunuh bertempur di Sungai Nyamuk, Tanjung Batu dan seorang lagi terkorban dalam kemalangan di Jalan Tungku, Kampung Bakapit semasa operasi di Lahad Datu.

Sehari selepas itu, Kampung Sri Jaya Simunul di Semporna pula bermandikan darah apabila enam anggota polis terkorban dalam serangan hendap penceroboh.

Setelah tragedi hitam itu berakhir, Tanduo dijadikan Kem Tentera pada 15 Mac 2013 di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan pengwujudan kem tentera adalah usaha kerajaan memantau anasir jahat khususnya memastikan insiden Tanduo tidak berulang.
Bersempena genap dua tahun insiden pencerobohan Tanduo pada 12 Februari dan Ops Daulat dilancarkan oleh ATM pada 5 Mac, wartawan Bernama antara wakil media menyertai program anjuran ESSCom bagi melihat sendiri kem tentera yang terletak di kawasan Felda yang terjejas dengan insiden pencerobohan pengganas Sulu.

Apa yang ketara, biarpun Tanduo dijadikan kem tentera beberapa bekas rumah penduduk kampung dan kawasan sekitarnya masih dikekalkan.

Lokasi dua anggota VAT69 ditembak pengganas ditandakan dengan bendera termasuk mengekalkan empat pokok kelapa sawit menjadi kawasan pertempuran selepas pokok kelapa sawit yang lain ditebang untuk penanaman semula oleh Felda.

Turut ditandakan adalah lokasi bekas tiga kubur digunakan pengganas Sulu mengkebumikan 12 anggotanya yang mati ketika bertempur dengan pasukan keselamatan. Selain itu, kesan letupan bom oleh pesawat tempur jenis F18 dan Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang dilancarkan ketika serangan ke atas Kampung Tanduo pada 13 Mac 2013 turut ditandakan.

Bagi wartawan Bernama yang turut terlibat dalam liputan Tanduo pada dua tahun lepas, berada di Tanduo mengingatkan semula betapa gentingnya situasi ketika insiden itu berlaku khusus selepas kumpulan penceroboh menembak anggota VAT 69 hingga mengorbankan dua daripada mereka.

Turut dikekalkan adalah surau di pesisir pantai Tanduo, menjadi lokasi pertama kumpulan penceroboh berkumpul selepas mendarat dengan menaiki bot. Di dalam kem tentera Tanduo pula, beberapa rumah penduduk kampung tidak dirobohkan termasuk surau kecil, yang turut digunakan kumpulan pengganas Sulu ketika melakukan pencerobohan.

Sebuah pondok kecil turut digunakan sebagai galeri menyimpan gambar kesan pencerobohan pengganas sulu, pakaian seragam Royal Sulu Force digunakan oleh pengganas sulu dan replika peta kawasan Tanduo.


POS KAWALAN

Selain di Tanduo, pos kawalan di bawah ESSCom turut diwujudkan di Gugusan Felda Sahabat dan Gugusan Tanjung Labian dengan tumpuan di kawasan berhampiran pantai antaranya di Tanjung Batu, Tanjung Labian, Sinakut dan Sungai Nyamuk.

Ia membabitkan dua batalion anggota tentera, selain sokongan daripada pasukan keselamatan lain yang mengawal dari perairan dan udara. Ia adalah komitmen berterusan kerajaan bagi memastikan insiden pencerobohan melibatkkan pengganas dari negara jiran tidak berulang dan pada masa sama, pasukan keselamatan tidak memandang ringan segala ancaman atau maklumat diterima mengenai sebarang aktiviti pencerobohan.

Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun menegaskan pihaknya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu. Anggota keselamatan ESSCom sedang memantau dengan rapi dan meneliti maklumat yang diterima berhubung perkara itu.

"Kita memang ada mendengar akan berlaku lagi ancaman gelombang kedua pencerobohan pengganas. Namun begitu, pihak keselamatan sedang memantau rapat dan mengambil maklum mengenai perkara ini termasuk berkongsi maklumat risikan dengan beberapa negara jiran.

"Kita perlu berwaspada dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada pengamal media yang menyertai Program lawatan Esscom bersama media ke Tanduo pada 7 Mac lepas.

Berikutan itu, beliau berkata ESSC om telah mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi menghadapi sebarang ancaman termasuk menambah aset-aset keselamatan dan pertahanan dan jumlah keanggotaan.

TRAGEDI MASIH DALAM INGATAN

Bagi penduduk di Kampung Tanjung Batu, antara perkampungan di Gugusan Labian yang pernah diceroboh pengganas dalam insiden Tanduo, mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa biarpun ingatan mereka mengenai insiden pencerobohan itu masih jelas.

Apa tidaknya banyak rumah penduduk kampung musnah terbakar dalam insiden itu, malah masih ada rumah penduduk kampung masih terdapat lubang kesan tembakan ketika pertempuran antara pasukan keselamatan dengan anggota kumpulan penceroboh.

Ketua Kampung Tanjung Batu Mahmud Mallang berkata pengwujudan sebuah kem tentera secara tetap di Kampung Tanjung Batu memberi keyakinan kepada penduduk kampung bahawa keselamatan mereka sentiasa terjamin. Penting sekali kejadian pencerobohan tidak akan berulang lagi disebabkan kawalan ketat pasukan keselamatan di Felda Sahabat khususnya di pesisir pantai, katanya.

"Keraguan mengenai keselamatan itu sentiasa ada terutama apabila mendengar khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab akan berlaku lagi insiden pencerobohan di kawasan Felda Sahabat.

"Namun, adanya kawalan keselamatan yang ketat oleh pasukan keselamatan, kami yakin insiden sama tidak akan berulang," katanya.

Apatah lagi, perlaksanaan perintah berkurung di perairan timur negeri ini termasuk di perairan Gugusan Felda membolehkan sebarang pergerakan anasir jahat di laut dapat dipantau dengan ketat oleh pasukan keselamatan. Menurutnya penduduk kampung di Tanjung Batu dan Tanjung Labian menjalani kehidupan seperti biasa dan tidak risau keselamatan ketika turun ke laut untuk menangkap ikan.

Mahmud yang rumahnya musnah terbakar akibat insiden pencerobohan itu, kini tinggal di rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).

Kerajaan membina semula 45 rumah di bawah PPR di kedua-dua kampung berkenaan bagi menggantikan rumah mereka yang musnah terbakar ketika insiden pencerobohan itu, manakala 103 lagi rumah yang mengalami kerosakan dibaiki.

Penubuhan ESSCom dan pengwujudan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZOne) menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kawalan keselamatan di Sabah serta memastikan insiden pencerobohan tidak berulang. - BERNAMA


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.