TAMAN NEGARA BAKO

KUCHING: Persekitaran dan suasana eksotik selain kepelbagaian budaya dan agama menjadikan Sarawak sebagai sebuah ‘studio semula jadi’ yang sesuai untuk penggambaran filem.

Menteri Pelancongan Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri juga bersedia untuk memainkan peranan sebagai fasilitator bagi memastikan proses penggambaran akan berjalan lancar.

“Sarawak mempunyai banyak kemudahan untuk ditawarkan kepada pembuat-pembuat filem.

“Peranan kami (kerajaan) adalah sebagai fasilitator bagi melancarkan proses keseluruhan,” katanya ketika merasmikan Forum  Festival Filem ASEAN-China dan Pelancongan di Kompleks Pelancongan Sarawak di sini, semalam.

Beliau turut menekankan keperluan untuk menggabungkan kepelbagaian budaya, warisan, tradisi dan gaya hidup penduduk tempatan ke dalam filem untuk menggalakkan industri pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Mulu Global Media Beijing, iaitu sebuah syarikat berpangkalan di China, Jasmine Kho turut bersetuju bahawa perfileman bukan sekadar mencari lokasi penggambaran semata-mata.

“Ia perlu menggabungkan budaya, agama, cara kehidupan ke dalam filem bagi menarik penonton. Sebab itu penulisan skrip dan jalan cerita memainkan peranan penting dalam menjadikannya realiti,” katanya.

Beliau turut menjadikan filem ‘Lost in Thailand’ sebagai contoh, di mana ia menyumbang kepada kedatangan pelancong serta menjana pendapatan sebanyak 40 peratus, khususnya di Chiang Mai.

“Selepas filem itu disiarkan di China, ia mencapai salah satu daripada ‘box office’ tertinggi setakat ini,” katanya.

Beliau menambah, industri filem China kini adalah kedua terbesar selepas Amerika Syarikat dan ia menyasar untuk menjadi pasaran filem dan televisyen terbesar di dunia menjelang 2018.

“Kita tidak dapat nafikan filem dan televisyen adalah kaedah terbaik dan terpantas untuk mempromosikan pelancongan dan fokus dunia sekarang adalah pada pasaran China.

“Tetapi persoalan lebih besar sekarang adalah bagaimana kita mengakses pasaran China dan meyakinkan mereka untuk datang ke Sarawak khasnya dan Malaysia, amnya,” katanya.

Justeru, bagi memperkasakan permahaman antara ASEAN dan China termasuk Korea dan Japan, Kho berkata, forum itu penting bagi penggiat industri untuk berkongsi pengalaman, membincangkan idea dan meneroka peluang.

Dalam jangka masa tiga tahun lagi, Mulu Global Media akan membuat sekurang-kurangnya lima produksi bersama, di mana penggambaran bagi dua filem Cina tempatan akan dibuat di negara ASEAN khasnya Malaysia.


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.