KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mendapat sokongan padu daripada kepemimpinan Puteri UMNO. Sokongan itu dinyatakan dalam majlis perjumpaan kepemimpinan Puteri bersama Najib selaku Presiden UMNO yang dihadiri 178 Ketua Puteri bahagian. "Hidup PM" dilaungkan beberapa kali selepas Najib mengakhiri ucapan pada majlis yang diadakan secara tertutup itu.

Penjelasan Perdana Menteri selama kira-kira 45 minit membabitkan pelbagai isu termasuk 1 Malaysia Development Berhad (1MDB); wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu; ekonomi; dan kepemimpinan negara. Pada sidang media selepas itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata penjelasan hari ini melengkapi penjelasan yang dibuat Khamis lalu dalam program Soal Jawab TV3 walaupun tidak terperinci.

Katanya, Perdana Menteri memberikan penerangan dan membuka ruang kepada setiap kepemimpinan untuk memahami erti cabaran pada hari ini.

"Sokongan yang dinyatakan Puteri hari ini dan sebelum ini bukan dilakukan secara membuta tuli.

"Saya optimis krisis antara Perdana Menteri dan Tun Dr Mahathir Mohamad akan dapat diselesaikan dengan baik tanpa wujud unsur yang boleh membantutkan usaha penyatuan daripada dalam," katanya.

Beliau turut menyarankan supaya satu perjumpaan diadakan antara Najib dan Dr Mahathir bagi memastikan krisis tidak berterusan.


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.