Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin akan diadakan pada 5 Mei, demikian umum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata suruhanjaya itu dalam mesyuarat khas hari ini juga menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Rompin pada 22 April, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 30 April.

Abdul Aziz berkata kawasan itu mempunyai 53,294 pemilih berdaftar.

"Daftar pemilih itu terdiri daripada 52,744 pemilih biasa, 545 pemilih awal dan lima orang pengundi tidak hadir luar negara," katanya dalam sidang media mengenai PRK kerusi Parlimen Rompin itu di sini.

PRK Parlimen Rompin perlu diadakan berikutan kematian anggota Parlimennya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Sabtu lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Rompin adalah pilihan raya kecil kesembilan selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Lapan PRK sebelum ini ialah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014) dan PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015).

PRK Permatang Pauh yang dijadual diadakan pada 7 Mei, akan menjadi PRK ke-10.

Bagi memastikan proses PRK Rompin berjalan lancar, Abdul Aziz berkata SPR melantik Pegawai Daerah dan Tanah Rompin Datuk Fadzilla Salleh sebagai pegawai pengurus yang akan dibantu lima penolong pegawai pengurus selain menubuhkan enam pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya.

Menurut Abdul Aziz, penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi PRK Rompin akan diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, manakala 35 sekolah dan tiga balai raya/dewan akan diguna sebagai pusat mengundi yang mengandungi 119 saluran tempat mengundi.

Untuk tujuan pengundian awal, sebanyak empat pusat akan digunakan iaitu Dewan Seri Ibam Skuadron 322 Tentera Udara Diraja Malaysia, Bukit Ibam; Balai Polis Muadzam Shah; Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin dan Balai Polis Tekek, Pulau Tioman.

Beliau berkata 987 petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses PRK Rompin dan keseluruhan perbelanjaan untuk pilihan raya kecil itu dianggar sebanyak RM1.91 juta.

Beliau berkata SPR menimbang kemungkinan melantik pemerhati tempatan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika terdapat permohonan.

Ketika ditanya mengenai sebab SPR tidak mengadakan PRK Rompin serentak dengan PRK Permatang Pauh yang ditetapkan pada 7 Mei, Abdul Aziz menjelaskan tarikh itu merupakan cuti umum di Pahang sempena Hari Hol iaitu hari memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat Sultan Abu Bakar.

"Pada asalnya nak buat serentak, tapi sempena Hari Hol banyak program telah diatur di Pahang sepanjang hari melibatkan kerabat diraja, Istana, ketua-ketua jabatan dan kalau diadakan (PRK) tidak sesuai," jelasnya.

Mengenai rasional mengadakan PRK Rompin pada hari bekerja, Abdul Aziz berkata undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebarang pilihan raya boleh diadakan pada hari bekerja selain hari cuti.

Malah, katanya, peratusan keluar mengundi sama ada tinggi atau rendah tidak mempunyai kaitan dengan hari pilihan raya diadakan.

"Kadang-kadang jumlah keluar mengundi pada hari bekerja lebih ramai daripada hari cuti," katanya.

Memandangkan PRK Rompin akan diadakan pada hari bekerja, Abdul Aziz meminta semua majikan sama ada daripada sektor awam atau swasta agar memberi tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang ingin keluar mengundi.

"Di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, majikan yang tidak membenarkan pekerjanya keluar mengundi boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau tidak lebih satu tahun penjara," katanya.

- Bernama



loading...

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Senarai Rasuah KM Sabah & Sarawak..? SPRM tutup mata..