Morsi berhadapan hukuman mati


KAHERAH: Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi, berhadapan hukuman mati Selasa ini berhubung pertuduhan menghasut pembunuhan penunjuk perasaan dalam keputusan pertama perbicaraan hampir dua tahun selepas beliau digulingkan.

Beliau juga berhadapan hukuman mati dalam dua lagi kes, termasuk dituduh mengintip untuk kuasa asing dan melarikan diri dari penjara semasa rusuhan menentang Presiden Hosni Mubarak pada 2011.

Keputusan perbicaraan dua kes itu ialah pada 16 Mei depan.

Menurut pakar perundangan, hukuman mati terhadap presiden pertama Mesir yang dipilih menerusi pilihan raya bebas itu tidak boleh ditolak kerana hakim sebelum ini menjatuhkan hukuman berat terhadap pemimpin Ikhwanul Muslimin.

Morsi digulingkan oleh ketua tentera pada masa itu tetapi kini presiden, Abdel Fattah al-Sisi, pada 3 Julai 2013 selepas tunjuk perasaan di jalanan terhadap pemerintah beliau selama setahun.

Pihak berkuasa baharu pada masa itu kemudian bertindak terhadap penyokong Morsi sehingga menyebabkan lebih 1,400 orang terbunuh dan ribuan lagi dipenjara.

Ratusan penyokong beliau sudah dijatuhi hukuman mati selepas perbicaraan besar-besaran singkat yang disifatkan PBB sebagai "tidak pernah berlaku dalam sejarah".

Pada November tahun lalu, sebuah mahkamah menggugurkan pertuduhan bunuh ke atas Mubarak berhubung kematian ratusan penunjuk perasaan pada 2011.

Rejim Sisi popular dalam kalangan rakyat Mesir yang muak dengan kemelut politik yang berlarutan selama empat tahun tetapi kumpulan hak asasi menyatakan ia lebih menindas berbanding pemerintahan Mubarak.

Keputusan Selasa ini membabitkan kes yang mana Morsi dan 14 tertuduh lain, termasuk tujuh yang masih bebas, didakwa membunuh tiga penunjuk perasaan dan menyeksa beberapa lagi dalam pertempuran di depan Istana Presiden pada 5 Disember, 2012.

Peguam bela menyatakan tiada bukti Morsi menghasut dalam pertempuran itu dan kebanyakan mereka yang terbunuh adalah ahli Ikhwanul Muslimin.

Andainya Morsi terlepas hukuman bunuh, beliau masih berhadapan hukuman penjara seumur hidup. - AFP



loading...

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Dusun Bonggi

Nostalgia - Nahas helikopter Melibatkan Tan Sri Yahya Ahmad

Esscom berdepan 'musuh dalam selimut'