BINTULU: Majikan diberi amaran supaya tidak mengupah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak memiliki permit atau dokumen sah untuk bekerja di negara ini.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Abdul Razak Mohammad berkata, sekiranya majikan ingin menggaji pekerja asing, mereka perlu melalui saluran yang betul.

“Jika tidak, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963. Dan, sabit kesalahan majikan terbabit boleh dikena denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali untuk setiap imigran yang dibawa bekerja,” katanya.

Jelasnya, sehingga kini polis mempunyai cara terbaik untuk melaksanakan penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI.

“Pihak kami mempunyai landasan yang lebih baik untuk menjalankan penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI,” ujarnya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu semalam.

Katanya, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen memberi sokongan kepada polis bagi menjalankan operasi bersepadu membanteras kehadiran PATI di Bintulu.

Justeru, katanya, pemilik kedai, kilang, tapak pembinaan, estet perladangan dan syarikat pembalakan diingatkan agar tidak melanggar undang-undang memandangkan agensi penguat kuasa bertindak tanpa kompromi.

Beliau berkata, kemasukan PATI ke Bintulu perlu disekat sepenuhnya dengan apa jua cara kerana ia boleh mencetus  masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah.

“Sejak Januari hingga 27 April tahun ini sejumlah 38 warganegara asing ditangkap atas dakwaan terlibat kes berkaitan dadah daripada 251 tangkapan dan 237 kes berbanding 82 kes daripada 86 tangkapan dalam tempoh sama tahun 2014,” katanya.

Menurutnya, dari Januari hingga Disember tahun lepas, polis turut menangkap 42 warganegara asing terlibat dalam kes berkaitan dadah.

“Kami terus giat menjalankan operasi dengan agensi-agensi lain dengan sokongan daripada ketua-ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat seluruhnya untuk memerangi habis-habisan aktiviti penyalahgunaan dadah di bahagian ini,” tambahnya.

-theborneopost.com

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.