Selaras dengan pengumuman penurunan harga jalur lebar yang diumumkan baru-baru ini, Telekom Malaysia (TM) selaku penyedia jalur lebar talian tetap terbesar mengumumkan dua pakej jalur lebar baru dengan harga patut.

Pakej yang diumumkan TM termasuk pelan berkelajuan 1Mbps serta kuota data 1GB pada kadar RM38 sebulan (tidak termasuk GST).

TM dalam kenyataannya berkata, pakej itu 57 peratus jauh lebih murah berbanding pakej 1Mbps sedia ada dengan kadar RM88 sebulan yang boleh dilanggan bermula 16 Jun nanti.

Manakala tawaran kedua TM pula datang dengan pakej tiga dalam satu UniFi 10Mbps dengan kadar serendah RM179 sebulan berbanding RM199 sebelum ini yang mana pakej ini memberikan tiga perkhidmatan dengan satu bayaran iaitu Internet jalur lebar tanpa had, panggilan telefon talian tetap tanpa had ke seluruh negara dan 22 saluran asas HyppTV.

Sehingga kini TM memaklumkan, terdapat lebih 2.2 juta pelanggan di rumah serta pelanggan perniagaan di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan jalur lebar dari TM.

TM menyasarkan pakej baru 1Mbps kepada pengguna yang hanya melayari Internet bagi mengakses media sosial, e-mel dan melayari laman web. Dikatakan dengan kuota 1GB, pengguna boleh melayari Internet selama 40 jam atau menonton klip video YouTube selama empat minit sebanyak 70 kali.

Pelanggan juga boleh melanggan atau mendapatkan lebih maklumat lanjut mengenai pakej 1Mbps bermula 16 Jun 2015 dan pakej 10Mbps pada 15 Julai 2015 di cawangan TMpoint di seluruh negara.
- hmetro



Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.