BINTULU: Seramai 12 individu ditahan di dua premis judi haram yang diserbu pihak polis dalam Ops Dadu di pusat bandar di sini jam 10.45 malam pada 27 April lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitenden Abdul Razak Mohammad berkata, operasi membabitkan premis terletak di Jalan Abang Galaun itu melibatkan rampasan empat mesin judi dan wang tunai RM300 termasuk penahanan sembilan individu.

Diikuti serbuan kedua di Jalan Keppel pada 28 April membabitkan rampasan dua lagi mesin judi dan wang tunai RM200 daripada sebuah lagi premis judi haram serta penahanan empat orang dalam operasi itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat dan kerjasama sehingga membawa kepada serbuan tersebut,” katanya semalam.

Beliau berkata, selepas kejayaan agensi berkaitan menutup semua aktiviti judi siber haram di sini dalam beberapa siri operasi lalu, kini satu cara judi baharu dikesan dikenali sebagai `mesin tembak ikan’ dan `mesin tembak kapal terbang’.

“Harus diingat, judi adalah penyakit dalam masyarakat yang menyumbangkan masalah sosial lain dan jenayah. Maka hentikanlah tabiat berjudi,” nasihatnya.

Sementara itu kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mengenai kes lumba haram membabitkan motosikal khususnya di jalan pesisir Tanjung Batu dan Taman Millenium Tanjung Kidurong, beliau memberi amaran kepada pihak terlibat agar menghentikan segera aktiviti berkenaan.

“Ia bahaya bukan sahaja kepada penunggang motosikal terlibat bahkan memberi kesan kepada pengguna jalan raya lain. Saya harap masyarakat khususnya  Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memain peranan memberi nasihat kepada generasi muda  supaya tidak terlibat dengan lumba haram,” katanya.

Begitupun katanya, pihaknya mengalu-alukan cadangan serta  idea daripada orang awam untuk meningkatkan tahap keselamatan di Bintulu dengan berjumpa beliau sendiri atau pegawai kanan polis di sini.

“Pintu terbuka untuk orang awam. Saya nasihat masyarakat yang ada masalah berkaitan supaya tidak berlengah  berjumpa dengan kami agar segala masalah dapat diselesai bersama,” katanya.

-theborneopost.com

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.