PUTRAJAYA - Dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Bukit Aman, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar akhirnya ke tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini sebentar tadi mensabitkan mereka bersalah terhadap tuduhan membunuh warga Monggolia, Altantuya Shaariibuu, sembilan tahun lepas.

Panel lima hakim yang bersidang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebulat suara membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang memohon Mahkamah itu mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan kedua-dua mereka dua tahun lalu.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Tan Sri Abdull Hamid Embong; Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Dalam penghakiman yang dibacakan Suriyadi, mahkamah berpuas hati bahawa kedua- dua responden gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Katanya, notis alibi yang dikemukakan kepada pendakwaan tidak disokong oleh bukti kukuh oleh kedua responden.

Katanya, mahkamah mendapati kedua responden ada niat bersama untuk melakukan pembunuhan itu yang disokong dengan bukti barangan peribadi milik si mati yang dijumpai bersama responden kedua (Sirul Azhar).

Pada April 2009, Azilah dan Sirul dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam kerana membunuh Altantuya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mendapati berlaku beberapa penyalaharahan (misdirection) oleh hakim Mohd Zaki Yasin dan mengarahkan kedua-duanya dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2013. -SINARHARIAN

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.