Ardyhansah Amat | www.hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kumpulan penculik dari Selatan Filipina menolak tawaran sejumlah wang tebusan bagi membolehkan pembebasan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Konstabel Zakiah Aleip yang diculik pada 12 Julai lalu.

Difahamkan, penolakan itu dibuat selepas jumlah wang tebusan yang ditawarkan itu kurang separuh daripada jumlah yang diminta mereka sebagai syarat pembebasan Zakiah.

Pesuruhjaya Polis negeri Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika ditemui mengesahkan perkara itu dan menjelaskan rundingan masih lagi diteruskan pihaknya dengan kumpulan penculik.

“Kami menawarkan satu jumlah (wang tebusan) munasabah iaitu separuh daripada harga yang diminta namun kumpulan penculik ini enggan menerimanya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, sehingga kini Zakiah masih berada di bawah pengawasan penculik dalam keadaan selamat.

“Setakat ini (semalam), sebanyak 68 panggilan direkodkan daripada Zakiah dan kali terakhir sekitar jam 2.14 petang semalam (kelmarin).

“Malah, isteri Zakiah Sharifah Erna Berson, 22, turut sempat bercakap dengan ketua kumpulan penculik,” katanya yang enggan menjelaskan butiran perbualan telefon itu.


Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.