5 Mei 2013


KUALA LUMPUR - Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selama 15 hari berakhir secara rasminya pada 12 tengah malam tadi.

Momentum kempen parti politik yang bertanding bermula sejak hari penamaan calon pada 20 April lepas dengan penganjuran beribu ceramah selain pelbagai aktiviti bertemu pengundi.

Ketika menghampiri detik terakhir tempoh berkempen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan masa berbaki untuk turun padang bertemu rakyat.

Kedua-dua pemimpin negara itu berada di 'gelanggang' masing-masing iaitu Najib di Pekan, Pahang dan Muhyiddin di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, Muar bagi program Himpunan Rakyat 1Malaysia.

Sepanjang tempoh berkempen, Najib dan Muhyiddin mempunyai jadual padat dengan menjelajah seluruh pelusuk negara bagi mendekati pengundi.

Calon lain yang bertanding juga mempunyai atur cara padat di kawasan masing-masing bagi menyelesaikan perkara yang mungkin berkisar kepada isu tempatan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang manakala Penasihat DAP Lim Kit Siang di Taman Sutera Utama, Johor Bahru.

Penyokong parti juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej kepada orang ramai untuk menggalakkan mereka keluar mengundi, antaranya menggunakan tarikan motosikal berkonvoi dan menghiasi kereta dengan bendera di sekitar ibu kota.

Seramai 13,268,002 orang layak mengundi pada PRU13 dengan 275,341 merupakan pengundi awal dan selebihnya pengundi biasa. - Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.