A’sma (kanan) menunjukkan surat berdaftar undi pos yang diterima walaupun tidak pernah mendaftar sebagai pengundi pos.



TELUK INTAN - Seorang kakitangan awam terkejut apabila menerima surat undi pos, walaupun tidak pernah memohon berbuat demikian sebelum ini.

A’sma Ahmad Hisahamuddin, 28, berasal daripada Kampung Padang Tembak, dimaklumkan oleh keluarganya bahawa dia menerima surat berdaftar undi pos pada 29 April lalu sebelum pulang ke kampung untuk mengambil dokumen tersebut.

Dia pelik dengan surat berdaftar undi pos itu walaupun sebelum ini tidak pernah berbuat demikian dan bertindak  membuat pemeriksaan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengetahui secara lanjut.

Tidak puas hati dengan semakan di laman web SPR, A’sma telah ke pusat pengundi di Sekolah Menengah Sri Setia untuk bertanyakan kepada petugas SPR berkenaan isu tersebut.

Tambah A'sma, pemeriksaan yang dilakukan oleh petugas SPR mendapati, dia perlu membuang undi secara pos dan bukan menggunakan proses biasa apabila namanya tersenarai sebagai pengundi pos.

“Saya akan membuang undi secara pos, tetapi apa yang menjadi kebimbangan apabila kertas undi saya akan dimanipulasi oleh mana-mana pihak untuk kepentingan diri sendiri.

“Satu laporan polis juga dibuat untuk memastikan tiada kejadian seperti ini berlaku pada masa-masa hadapan,” katanya.

A’sma turut kesal dengan apa yang terjadi dan mahu pihak SPR lebih berhati-hati kerana ia boleh menyusahkan ramai pihak.-Sinarharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.