KUCHING: "Terlalu singkat masa saya bersama mendiang, dia kini pergi untuk selamanya," kata Vivian Padel, 42, kakak kepada mendiang Deputi Superintendan Micheal Padel, 36, selepas menghadiri majlis pengebumian, hari ini.

Jenazah pahlawan negara itu selamat disemadikan kira-kira jam 11 pagi dengan penuh adat istiadat polis di Makam Pahlawan, di sini, dihadiri kira-kira 1,000 ahli keluarga dan sahabat handai yang ingin memberikan penghormatan terakhir.
Vivian berkata, dia dan ahli keluarga lain amat merasai kehilangan adik bongsunya itu, namun menerima pemergiannya dengan tabah.

"Kami sekeluarga amat sedih dan sudah pasti isteri mendiang Jabah Mingku, 35 dan anak tunggal mereka Macluie Michael, 11, lagi terasa kehilangannya.

"Saya tidak akan lupa dengan pesanan terakhir mendiang supaya menjaga ibu kami dan keluarganya dengan baik," katanya.


Jenazah Micheal tiba di perkarangan Makam Pahlawan dari Gereja St Theresa, Serian kira-kira jam 10.30 pagi diiringi pasukan polis dan ahli keluarga.

Suasana sedih seketika sebaik jenazah mendiang dimasukkan ke dalam liang lahad dengan kedengaran tangisan daripada ahli keluarga.

Upacara kalung bunga dimulakan dengan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, pula diwakili Timbalannya, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Hadir sama, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazrane; Persuruhjaya Polis, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalannya, Datuk Law Hong Soon.

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.