Disebabkan sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan UMNO, maka lebih 200 orang ahli-ahli UMNO Cawangan Kota Klias Beaufort yang diketuai oleh Haji Awang Bani dan Abdullah Ahmad mereka meninggal UMNO dan menyertai Parti Pakatan Rakyat (PR), baru-baru ini.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Beaufort, Muslim Murad dengan lebih 30 ahli cawangan UMNO lainnya telah meletak jawatan keluar daripada UMNO dan menyertai Pakatan Rakyat melalui PPPS dan ikuti oleh AJK Wanita UMNO, Masrah Hj Muhammad.

Menurut Hj Awang, mereka keluar beramai-ramai daripada UMNO/BN dan menyertai parti Pakatan Rakyat disebabkan beberapa faktor; antaranya UMNO sudah tidak relevan lagi di Sabah kerana para pemimpin UMNO menyalahguna kuasa dan terlalu melindungi dan mengambil berat kebajikan PATI yang mendapat kerakyatan songsang daripada menjaga kebajikan rakyat tempatan yang semakin terpinggir.

Hj Awang menambah, rakyat di Sabah sudah bosan dengan mainan kotor para pemimpin UMNO kepada rakyat Sabah begitu mudah memperbodohkan rakyat Sabah dengan menaburkan pelbagai janji manis.

Sambil memuji tindakan Datuk Lajim Hj Okin keluar daripada kekangan dan cengkaman UMNO/BN; kemudian menyertai gagasan Parti Pakatan Rakyat melalui PPPS yang di asaskan oleh beliau sendiri, membuktikan rakyat Sabah sudah mempunyai kesedaran dan kematangan berpolitik bahawa mereka tidak mudah digula-gulakan lagi.

“Saya terus terang, sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah, masyarakat Cina, India Kadazan, Dusun dan Murut sudah menolak habis-habisan UMNO dan BN," ujar Hj Awang lagi.

Sebagai contoh, kata Hj Awang, sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina yang dihadiri lautan manusia yang berbilang kaum termasuk Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak dan isterinya Datin Rosmah Mansor sebagai tetamu kehormat; ketika ramai rakyat Sabah dan Pulau Pinang miskin, penganjur telah membayar RM2juta hanya untuk empat minit persembahan artis Youtube Korea, PSY, Gangnam Style.

“Fenomena ini telah mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati kepada artis-artis tempatan Malaysia kerana selama ini kerajaan BN/UMNO sejak dulu dan sekarang tidak pernah membelanjakan RM2 juta kepada mana-mana artis di dalam negara in,” kata Hj Awang.

Kata Hj Awang, satu lagi tamparan hebat terkena kepada Perdana Menteri apabila Najib melaungkan tiga kali di hadapan ribuan lautan manusia : "Are You Ready For BN”.

"Apa jawab mereka no....no..., Are You Ready For BN no...no. Ini semua disiarkan di media. Jawapannya jelas bahawa rakyat kini sudah menolak kepempinan BN/UMNO di negara ini," ujar Hj Awang.

Turut hadir pada majlis penyerahan borang kemasukan ahli-ahli UMNO ke Pakatan Rakyat ialah Presiden PPPS Datuk Lajim Hj Okin dan Timbalan Ketua Cabang PKR Beaufort, Taufick Hj Ruschi.

Oleh: SHAIMON S JUMADI (sabahkini)

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.