Guru dinasihat agar bertindak secara rasional apabila menerima sebarang maklumat daripada pihak pembangkang  yang tidak berpaksikan kepada kebenaran dan boleh merosakkan negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata fitnah daripada pembangkang  akan lebih memuncak menjelangnya pilihan raya umum akan datang yang pastinya menjadikan guru sebagai antara sasaran menaburkan fitnah itu.

"Guru-guru perlu buat pertimbangan wajar dan jangan sama sekali terpengaruh dengan pihak yang mahu merosakkan negara kita ini.

"Apa yang dibuat perlu berasaskan kepada kebenaran kerana yang penting untuk kita semua terus mewujudkan negara yang lebih gemilang pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bicara Transformasi Kelantan di Kompleks Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan di Tanjong Chat di Kota Bharu, hari ini.

( Siapa pembangkang di Kelantan? )

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussain Awang dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustafa serta lebih 800 guru kaunseling sekolah rendah dan menengah seluruh negeri.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata guru di Kelantan perlu memahami perkara sebenar yang kononnya diperjuangkan pembangkang terutama membabitkan soal royalti minyak dan sebagainya.

"Saya telah difitnah antara orang yang bertanggungjawab tidak membawa pembangunan di Kelantan selama ini. Dalam satu demonstrasi pembangkang, ada patung saya yang disebat mereka dan ini satu tindakan yang tidak wajar," katanya.

Menurutnya sejak menjawat beberapa portfolio menteri sebelum ini beliau telah membawa beberapa projek besar kepada rakyat Kelantan seperti Universiti Malaysia Kelantan, Pusat Transformasi Luar Bandar Kelantan dan juga Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua.

"Sebab itu PRU-13 ini adalah sangat penting kepada rakyat Kelantan untuk membuat perubahan. Rakyat Kelantan juga sebahagiannya masih tidak mendapat maklumat sebenar apa yang kononnya diperjuangkan pembangkang itu," katanya.

Pada majlis itu Mustapa turut berdialog dengan peserta dan menjelaskan isu terkini seperti pelaburan dan politik semasa.

- Bernama

Dalam erti kata lain, guru-guru Kelantan jangan dipengaruhi oleh pembangkang iaitu Barisan Nasional yang merupakan pembangkang di Kelantan.

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.