Seorang bekas tahanan ISA mendakwa kumpulannya pernah membantu memproses beribu-ribu kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin di Sabah pada awal 1990-an untuk menjatuhkan kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada masa itu.

Siti Aminah Mahmud, 63, yang ditahan bawah ISA pada tahun 1995 mendakwa, beliau ditugaskan untuk mengumpul maklumat dan menyerahkan IC kepada ketua kampung di sekitar Sabah untuk diberi kepada warga asing yang kebanyakannya dari Indonesia dan Filipina.

Siti Aminah mendakwa, beliau diminta berbuat demikian bagi membantu Umno bertapak di Sabah dengan memberi IC kepada warga asing di negeri itu.

Bercakap dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR hari ini, Siti Aminah mendakwa beliau juga diberitahu supaya membantu Umno untuk menewaskan PBS pada ketika itu.

"Masa itu awal tahun 1990. Saya diberitahu supaya tolong parti Umno untuk bertanding di Sabah dan nak kalahkan PBS dengan buat projek IC di Sabah.

"Ada lima peranan yang saya perlu buat iaitu membantu kempen, tambah pengundi Melayu, cari orang kampung pendalaman terutama yang tiada IC di sempadan Sabah-Indonesia dan pastikan kemenangan Umno di Sabah dengan tumbangkan PBS," katanya.

Beliau mendakwa ditahan bawah ISA atas kesalahan berhubung kegiatan tersebut.

-Malaysiakini

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.