Krisis kepemimpinan di Kedah cetus kekalutan parti pembangkang

BALING: Pergolakan dalaman kerajaan PAS Kedah yang tidak berkesudahan akan menyebabkan rakyat di negeri ini dilanda kesusahan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, senario politik kerajaan PAS Kedah yang tidak stabil ketika ini menyebabkan keadaan menjadi serabut sehingga menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan parti itu menerajui negeri ini.
Katanya, kekalutan yang melanda PAS Kedah ketika ini membuktikan parti itu tidak pernah reda daripada perkara yang serabut.

“Sesuailah dengan namanya, Parti Asyik Serabut (PAS). Sehari dua ini serabut tak sudah-sudah... saya pun tak faham... "

“Kalau pada peringkat PAS Pusat, sekejap mahu perjuangkan negara Islam.. sekejap nak perjuangkan negara berkebajikan... Itu belum lagi kalau Karpal (Singh) (Pengerusi DAP) bunyi sikit...

“Kalau dekat Kedah lagilah serabut, pi mai ... pi mai... malam ni dengarnya ada pula mesyuarat, isu ini tidak selesai-selesai dan ia menyusahkan rakyat,” katanya berucap sempena Majlis Bersama Rakyat di Padang Awam Kuala Ketil di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Krisis kepemimpinan PAS Kedah semakin meruncing selepas wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang didakwa didalangi Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Kekalutan itu tercetus apabila Phahrolrazi bersama Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh enggan dilantik semula ke jawatan EXCO dalam usaha memberi tekanan kepada Azizan supaya meletakkan jawatan.

Pergolakan dalaman berpanjangan kerajaan PAS Kedah mendapat perhatian kepemimpinan tertinggi parti itu sehingga satu mesyuarat khas diadakan di Alor Setar untuk menyelesaikan isu terbabit.

Najib berkata, keserabutan dalam PAS itu menyebabkan parti berkenaan berpecah berikutan perbezaan pendapat antara pemimpin tertingginya.

“Orang kalau dah serabut macam itulah.. orang ini macam ini orang itu cakap macam itu. Jadi lepas ini kalau nampak saja PAS maka kita boleh panggil sebagai Parti Asyik Serabut.

“Kalau PKR pula kita panggil Parti Kalut dan Ribut (PKR) sebab depa ini macam-macam masalah isu video tak selesai, jam tangan Omega tak selesai, isu khalwat dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pun tak selesai,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak meminjam untuk membiayai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang membabitkan peruntukan RM2.6 bilion.

“BN ada kemampuan mentadbir dan mengurus negara dengan baik... kita tidak meminjam sebab kita ada kekuatan ekonomi hasil urus tadbir yang baik,” katanya.

Terdahulu, Najib menghabiskan masa selama hampir setengah jam menziarahi Ketua Cawangan UMNO Kuala Ketil, Datuk Zakaria Abdul Raof, 71, di kediamannya di Kampung Pekan Lama Kuala Ketil.

Bharian

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.