Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Radin Malleh meminta Kementerian Pelajaran segera mengkaji semula keputusan temuduga terbuka bagi profesion perguruan melibatkan anak tempatan Nabawan dan Kemabong di pedalaman Sabah pada 7 Mei lalu.

Beliau berkata ini kerana ramai ibu bapa dan pelajar berpendapat temuduga itu tidak dilaksanakan mengikut sasaran ditetapkan.

"Objektif utama temuduga itu ialah untuk memberi peluang kepada anak tempatan di pedalaman Sabah, khususnya di Nabawan dan Kemabong, menjadi guru," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, kata beliau, calon dari luar daerah itu turut diambil dan ini menafikan peluang anak tempatan menjadi guru.

Radin, yang juga naib presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata beliau dimaklumkan bahawa pada mulanya kumpulan sasaran bagi pengambilan itu ialah anak tempatan dari kawasan pedalaman yang mendapat enam kredit, termasuk dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta aktif dalam kegiatan ko-kurikulum.

"Mendapat 'A' (kredit) tidak diwajibkan bagi pelajar dari kawasan pedalaman Nabawan dan Kemabong. Anggota panel temuduga datang jauh dari Putrajaya; mereka tidak kenal calon-calon ini, jadi mereka hanya pilih secara rambang, manakala kelayakan yang diambil kira pula adalah seperti biasa, contohnya 4A bagi lelaki dan 5A bagi perempuan dan ini mengenepikan peluang untuk anak tempatan," katanya.

Radin berkata perkara paling mengecewakan ialah pegawai pendidikan tempatan langsung tidak dilibatkan dalam semua proses pengambilan.

"Ini menyebabkan objektif utama untuk memberi peluang kepada anak tempatan tidak tercapai. Ini tidak adil bagi anak tempatan Nabawan dan Kemabong," katanya.

Beliau berkata sekiranya amalan itu diteruskan, sampai bila pun anak tempatan tidak berpeluang menjadi guru.

"Sebab itulah ibu bapa mahu keputusan itu dikaji semula agar anak tempatan berpeluang mencapai impian mereka," katanya.

Radin berkata sekolah di pedalaman, termasuk di Nabawan dan Kemabong, masih kekurangan dalam banyak aspek, termasuk prasarana dan kemudahan teknologi maklumat.

Ini juga perlu diambil kira dalam pengambilan guru melalui temuduga terbuka, katanya.

- Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.