Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata penubuhan Kolej Kadazan Dusun dan Murut atau Kolej KDM di Sabah wajar dan seharusnya disokong oleh seluruh penduduk negeri.

Beliau berkata ini kerana kolej berkenaan bukan sahaja diperlukan untuk memajukan masyarakat kaum itu bersama kaum lain di bawah konsep 1Malaysia tetapi juga membawa semangat mengukuhkan perpaduan, kerana tidak ada kaum yang akan merasa terpinggir dengan penubuhannya.

"Ini adalah satu idea atau perancangan yang baik. Kami di PBRS menyokong cadangan penubuhan Kolej KDM di Sabah yang pasti akan membawa masyarakat Kadazan Dusun dan Murut ke tahap yang lebih tinggi," katanya kepada Bernama di Keningau, hari ini.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian semasa mengulas cadangan Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) Ahad lepas, agar Kolej KDM diwujudkan di Sabah.

Menurut Pekadin, penubuhan kolej itu akan dapat membantu menyerlah peranan masyarakat Kadazan dan Murut terutama dalam arena pendidikan seiring dengan wawasan negara yang mahu menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Sebelum ini Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) juga pernah menyuarakan sokongan kepada cadangan itu, dan sedia membantu dalam usaha merealisasikan cadangan tersebut.

Presidennya Tan Sri Bernard Dompok berkata pengwujudan Kolej KDM merupakan satu keperluan kepada semua terutama masyarakat kaum itu dalam usaha memartabatkan bahasa dan seni budaya Kadazan Dusun dan Murut.

--Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.