Akuan bersumpah dibuat penulis blog diteliti semula

KUALA LUMPUR: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Raja Petra Kamarudin mengenai beberapa individu yang dikatakan menyalur maklumat kepadanya supaya membuat satu akuan bersumpah (SD) dua tahun lalu, bagi mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibu.

Ketua Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata pihaknya sudah mula menjalankan siasatan terperinci ber-hubung dakwaan pengendali portal Malaysia Today itu selepas laporan polis mengenainya dibuat pihak tertentu sebelum ini.
Kertas siasatan itu dibuka susulan pendedahan Raja Petra mengenai beberapa individu mendesaknya membuat akuan bersumpah itu kerana tidak mahu Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ismail bagaimanapun, enggan mengulas lanjut sama ada mereka yang disebut Raja Petra itu sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Kita sudah memulakan siasatan. Kita akan menyiasat secara terperinci dari segenap aspek,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Khamis lalu, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa polis membuat siasatan terhadap beberapa individu terbabit yang didakwa Raja Petra menyalurkan maklumat kepadanya sehingga beliau membuat SD pada 18 Jun 2008 bagi mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan Altantuya.
Individu yang dimaksudkan Raja Petra adalah Nik Azmi Nik Daud, John Pang selain penulis blog, Din Merican serta seorang pegawai risik angkatan tentera dikenali sebagai Kolonel Azmi Zainal Abidin.

Dalam SD itu, Raja Petra mendakwa kononnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh.

Dalam temu bual bersama TV3 di Perth, Australia, baru-baru ini, Raja Petra mendakwa beliau didesak dan dipengaruhi beberapa individu yang tidak mahu Najib menggantikan Abdullah.

Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, polis akan mengkaji dan melihat semula akuan bersumpah Raja Petra dua tahun lalu bagi menentukan tindakan lanjut yang bakal diambil.

Kelmarin, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin, dalam kenyataan berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah menggantung tugas rasmi Kolonel Azmi yang juga pegawai kanan Markas Tentera Darat sehingga siasatan ke atasnya berhubung dakwaan Raja Petra itu selesai.

Azizan dilaporkan berkata, ATM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat dakwaan itu secepat mungkin dan hasilnya akan dijadikan asas untuk tindakan yang bakal diambil terhadap pegawai berkenaan sekiranya didapati benar. - BHARIAN




RPK - Ada sekolah tapi bodoh pula. Kalau bukan RPK sendiri yang menyaksikan Datin Rosmah berada di tempat kejadian, buat apa buat akuan bersumpah.

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.