PM puas hati pertemuan, beberapa wakil rakyat tawar diri tak pertahan kerusi

MIRI: Datuk Seri Najib Razak mengesahkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sarawak menawarkan diri tidak mempertahankan kerusi masing-masing dalam pertemuan tertutup dengan beliau di sini semalam.
Namun, Perdana Menteri yang berpuas hati dengan pertemuan itu berkata, tidak seorang pun daripada 62 ADUN BN yang bertemu beliau melobi untuk dicalonkan semula.
"Tak ada siapa lobi nak dicalonkan semula, tetapi yang menawarkan diri tak nak bertanding lagi ada beberapa orang," katanya pada sidang media selepas pertemuan yang turut dihadiri Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Sesi permukiman tertutup mulai jam 11.30 pagi hingga 5.30 petang itu diadakan di Hotel Marriot di sini dengan pertemuan dibuat secara berkumpulan antara lima hingga enam ADUN setiap sesi.

Pengerusi BN itu bagaimanapun enggan mendedahkan berapa ramai ADUN Sarawak yang menyatakan hasrat mengundur diri dan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, yang dijangka diadakan April atau Mei ini.

Sebelum ini, empat ADUN dilaporkan sudah mengumumkan hasrat tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, iaitu Datuk Wan Abdul Wahab Sanusi (Sadong Jaya), Datuk Bolhassan Di (Beting Maro), Datuk Hamden Ahmad (Belawai) dan Datuk Ambrose Blikau Enturan (Katibas). Semua mereka dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Difahamkan ada sekurang-kurangnya lima yang lain dikatakan tidak akan mempertahankan kerusi masing-masing, namun belum membuat pengumuman terbuka.

Najib juga gembira kerana ADUN Sarawak mengambil tahu keadaan dan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing dengan membuat beberapa cadangan secara lisan, selain mengemukakan cadangan bertulis.

"Ada juga yang buat dalam bentuk laporan lengkap kepada saya dan ini menunjukkan mereka tahu apa sebenarnya perlu dilakukan di kawasan masing-masing.

"Bukan semua apa yang mereka kehendaki atau rakyat kehendaki boleh kita selesaikan dalam masa singkat. Projek prasarana seperti bekalan elektrik memerlukan tempoh tertentu untuk kita selesaikan. Apa yang penting ada peningkatan yang jelas dan ketara dari setahun ke setahun di semua kawasan," katanya.

Ditanya sama ada pertemuan itu ada kaitan dengan pilihan raya negeri yang boleh diadakan pada bila-bila masa, Najib berkata, ia proses biasa yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan khidmat wakil rakyat supaya lebih berkesan.

"Ini sudah tentu akan menaikkan imej kerajaan BN," katanya sambil menambah menerusi pertemuan itu beliau mendapat gambaran sebenar keadaan di setiap kawasan DUN supaya Kerajaan Pusat dengan kerjasama kerajaan negeri dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.BHARIAN

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.