Keluar dalam kegelapan, kedinginan pagi, setengah jam berjalan di jalan becak

KOTA KINABALU: Hari pertama persekolahan murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Tombongon, Colebatlee Sopirin, dari Kampung Bongkut, Menggatal dekat sini semalam, jauh berbeza dengan murid di bandar atau pinggir bandar.
Selain meredah kegelapan subuh, anak cekal itu terpaksa menghabiskan kira-kira sejam berjalan melalui laluan tidak berturap untuk ke sekolah.
Walaupun bertarung dengan kedinginan subuh di puncak bukit, Colebatlee menguatkan azam memulakan persekolahan dengan bangun seawal jam 5.30 pagi untuk mandi menggunakan bekalan air graviti (air dari puncak bukit yang disalurkan ke rumah dengan menggunakan buluh).

Anak bongsu daripada enam beradik itu mengenakan pakaian serba baru yang dibeli bapanya, Sopirin Sapou, 66, sebelum menjamah minuman panas disediakan kakaknya, Monica, 23, untuk segera berkumpul bersama lima rakan di kampung berkenaan sebelum melangkah ke sekolah.

Anak penoreh getah itu langsung tidak mempamerkan kejanggalan melalui jalan tidak berturap yang licin dan curam semata-mata memastikan beliau mampu menjejakkan kaki di sekolah sebelum loceng pertama berbunyi pada jam 7.50 pagi.

Walaupun meredah laluan berlopak dan kawasan dipenuhi pokok kecil di laluan sepanjang kira-kira lapan kilometer (km), Colebatlee, Alfred Gentino, 8, Cornelius Sylvester, 11, Camelia Rodianna Ruduf, 9, dan adik-beradik Roslinda Charlyne Rosman, 8, serta Rositta Clape, 9, tidak patah semangat untuk menimba ilmu.
Murid yang bercita-cita menjadi doktor itu mengakui tidak menghadapi masalah berulang alik ke sekolah kerana sudah biasa berjalan pada jarak berkenaan untuk ke Prasekolah Tombongon bersebelahan dengan SK Tombongon.

SK Tombongon boleh dikunjungi menggunakan laluan berturap sepanjang kira-kira 20km dari Menggatal manakala jarak Menggatal ke Kota Kinabalu adalah kira-kira 15km.

Sementara itu, wartawan dan jurugambar Berita Harian yang memasuki kampung berkenaan dengan berjalan dari SK Tombongon berikutan kesukaran kenderaan pacuan empat roda mendaki bukit curam pada jam 4 pagi, bukan setakat mendaki bukit curam, malahan terpaksa melarikan diri daripada diserang sekumpulan kerbau liar di pertengahan jalan.

Sementara itu, Sopirin berkata, kira-kira 60 penduduk yang menghuni 10 rumah di kampung itu tidak mampu membeli kenderaan kerana hidup hanya bergantung kepada hasil torehan getah.

“Kalau musim hujan lebat, ada kalanya anak kami tidak ke sekolah berhari-hari kerana jalan rosak teruk. Bagaimanapun, ia tidak melemahkan semangat kami untuk memastikan anak kami menerima pendidikan sempurna,” katanya.

Guru Besar SK Tombongon, Abdul Kadir Abdul Latif berkata, lebih 60 murid sekolah berkenaan diberi kelonggaran memulakan kelas pada jam 7.50 pagi berbanding 7.20 pagi di kebanyakan sekolah lain berikutan jarak rumah dengan sekolah yang jauh dan ketiadaan kenderaan membawa mereka berulang-alik ke sekolah.

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.