PULAU PINANG 17 OKT : Pengalaman getir dan memeritkan terpaksa merengkok dalam penjara sebagai seorang banduan lebih memedihkan daripada menerima pelbagai serangan dan tohmahan bertubi-tubi oleh ahli-ahli politik Umno dan parti Barisan Nasional dalam tugas mentadbir Pulau Pinang sebagai seorang Ketua Menteri.

Itulah luahan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang sambil menyifatkan pengalamannya sebagai tahanan ISA selama 18 bulan dan juga dipenjarakan di bawah Akta Hasutan dari Ogos 1998 sehingga 25 Ogos 1999 kerana memperjuangkan nasib seorang gadis Melayu yang membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Rahim Tamby Chik dan 14 individu lain sebagai tempoh yang 'menyakitkan' dalam hidupnya.

Menurutnya, pengalaman tersebut memberinya stamina dan kekuatan untuk menangkis semua serangan yang dibuat terhadapnya oleh konco-konco Umno dan Barisan Nasional dan menumpukan perhatian untuk terus mentadbir Pulau Pinang dengan baik dan amanah.

Beliau meluahkan isihatinya itu kepada Prof Aziz Baari yang menjadi moderator dalam wawancara program "Terus Terang" TV Selangor yang dirakamkan di pejabat Ketua Menteri di Komtar, Pulau Pinang petang semalam.

"Kalau kita sudah mengalami kehidupan dalam penjara selama 18 bulan (ketika ditahan di bawah ISA), saya rasa kita sudah cukup sedia untuk menghadapi tohmahan mereka...jadi apabila kita sudah biasa menjadi pembangkang dalam kerajaan pimpinan Barisan Nasional dan Umno tidak akan kita tidak dapat menghadapinya ketika kita sudah jadi kerajaan dalam negeri Pulau Pinang?

Pengalaman saya di penjara memberikan saya stamina untuk menghadapi serangan itu...mereka tidak dapat cari kelemahan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan terpaksa guna taktik desperado untuk menjatuhkan imej saya ...mungkin apa yang tidak dijangka adalah tahap sejauh mana mereka sanggup membuat fitnah..sampai gambar rakan baik saya, Datuk Nizar menyembelih lembu dalam satu majlis Hari Raya Korban diubahsuai dan diletaknya muka saya untuk melakukan tohmahan berkenaan," tambah beliau lagi.

Di program temuramah Terus Terang tersebut, Guan Eng turut menjelaskan dengan panjang lebar berkenaan beberapa isu yang cuba direka oleh UMNO termasuk isu sumbangan wang RM100 bagi program Warga Emas yang dikatakan hasil dari lesen perjudian.

Menurutnya, isu tersebut sengaja diputarbelitkan oleh UMNO untuk menjatuhkan imej kerajaan Pakatan negeri Pulau Pinang kerana mereka tidak pernah memberikan bantuan sedemikian kepada warga emas di negeri berkenaan.

"Pada tempoh pentadbiran negeri ini di bawah Barisan Nasional, Gerakan di bawah Tan Sri Sr Koh Tsu Koon hanya memberikan peruntukan RM12.5 juta bagi hal ehwal Islam di Pulau Pinang, tetapi dalam tempoh setahun pertama di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, kami memperuntukkan RM20.5 juta bagi tujuan yang sama dan ia ditambah kepada RM24.5 juta bagi tahun ini...jadi adakah itu bermaksud saya anti-Islam seperti dilabelkan oleh UMNO?, persoalnya lagi.

Beliau menambah Barisan Nasional terutamanya Umno bersifat talam dua muka kerana cuba mempermainkan atau mempergunakan isu Agama dan kaum untuk mempengaruhi dan mengelirukan rakyat di negeri berkenaan.

"Umno menuduh saya sebagai seorang anti - Islam manakala dalam masa yang sama pula Gerakan pula berkata saya anti kepada bukan agama Islam....jadi itulah yangg saya maksudkan mereka ini sebagai talam dua muka," katanya lagi di wawancara tersebut.

Menurutnya, rakyat seharusnya ingat bahawa Barisan Nasional di bawah Umno menjadi dalang menghentikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) tetapi bantuan tersebut dihidupkan semula oleh semua kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat .

Lim juga turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri turut memperkenalkan sistem pentadbiran berasaskan urustadbir cekap, amanah dan bertanggungjawab (CAT) kerana dengan pentadbiran menggunakan pendekatan CAT, penyampaian dan prestasi kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan dihakimi sendiri oleh rakyat di negeri berkenaan.

Menurutnya, ia penting bagi memastikan Pulau Pinang ditadbir dengan amanah dan bebas dari sebarang penyalahgunaan kuasa dan rasuah dan langkah terbaik yang terbaik bagi memastikan sasaran itu dicapai adalah maka CAT juga akan diamalkan oleh kakitangan kerajaan negeri tersebut.

Namun, beliau turut mendedahkan masalah yang dihadapi termasuk sikap segelintir kakitangan kerajaan negeri yang masih berfikiran sempit dan menjadi alat kepada Barisan Nasional dan UMNO khususnya yang cuba mensabotaj usaha kerajaan negeri menyerapkan prinsip CAT dalam anggota kakitangan awam kerajaan negeri.

Beliau menambah berdasarkan prinsip ini, kebanyakan kakitangan awam mahu memperbaiki prestasi kerja mereka namun ada segelintir yang bersikap menentang arus sambil memberi contoh isu pegawai di perbadanan pembangunan Pulau Pinang baru-baru ini.


sumber : http://lpdn28.blogspot.com/2010/10/derita-dipenjara-beri-kekuatan-tadbir.html

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.