Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, hari ini menafikan dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, bahawa beliau adalah antara lapan Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti bagi menjayakan rancangan pembangkang untuk mengambil alih Kerajaan Pusat pada 16 September 2008.

Bung Moktar berkata, beliau juga tidak pernah berjumpa dengan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung tujuan itu dan menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai satu pembohongan besar.

"Saya tidak pernah jumpa mana-mana pihak PKR untuk melompat sebab saya bukan kaki lompat, saya kaki pukul...mana cakap tidak betul (dalam Dewan Rakyat) kita pukul sebab kita anak jantan, mesti berani punya. "Saya tidak pernah terbabit sama ada pertembungan secara langsung kecuali saya terjumpa dengan ketua pembangkang dalam satu penerbangan, dia duduk depan dengan isteri, saya duduk belakang.

"Dia datang jumpa saya tanya apa khabar, saya cakap baik...'Bila nak ikut?' 'Ikut apa?' Dia kata sudah ada 30 orang, 'Awak ada 30 orang bentuk kerajaanlah,' itu saja," katanya.

Beliau membuat pendedahan itu ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat di sini.

Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) itu berkata tidak terlintas sedikit pun dalam fikiran beliau untuk menyertai pembangkang bagi membentuk kerajaan dan mendesak agar anggota PKR yang lain bangkit daripada tidur dan angan-angan pembangkang itu.
"Saya minta kawan-kawan daripada PKR jangan lagi terpedaya. Bangkitlah daripada tidur, bangunlah daripada buaian mimpi kerana tiada satu parti ditubuhkan atas dasar benci, dendam boleh perintah negara, sebelum rakyat menghukum lebih teruk, kalau sesat di hujung jalan kembalilah ke pangkal jalan," katanya.

Bung Moktar turut mengucapkan tahniah kepada Zahrain yang kini menjadi wakil Bebas setelah keluar parti 12 Februari lalu dan menyifatkan Zahrain bertindak sedemikian kerana sudah mendapat petunjuk daripada Tuhan untuk ke landasan yang benar.

"Yang lain saya tidak boleh cakap belum ada petunjuk tetapi mungkin mereka belum terbuka hati mereka oleh Allah, saya simpati dengan mereka yang belum mendapat petunjuk, saya berdoa satu hari sebab tiada yang boleh ubah hati manusia selain daripada diri mereka dan Allah," katanya.

Khamis lalu, selain Bung Moktar, Zahrain turut mendedahkan bahawa Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar), Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang), serta seorang Timbalan Speaker Dewan Rakyat adalah Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti bagi menjayakan agenda pembangkang membentuk kerajaan pada 16 September 2008. - Bernama

Post a Comment

Borneomail tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan di halaman ini. Ia pandangan peribadi komentar dan bukan pandangan borneomail. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.